12 Ogos 2025 - Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke Pusat Pengajian Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu Cawangan Besut.
Pusat Pengajian Al-Quran Braille ini telah mula beroperasi pada Julai 2020 di Pejabat Yayasan Islam Terengganu Daerah Besut. Selari dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk memperkasakan syiar Islam dalam kalangan OKU (cacat penglihatan) di negeri Terengganu serta memberi peluang dan kemudahan kepada golongan ini untuk mempelajari Al-Quran.
Dalam lawatan tersebut, Baginda telah berpeluang melawat Kelas Asas Bacaan Al-Quran, Kelas Al-Quran Braille Rasm Uthmani, Bilik Alatan Braille dan Kelas Al-Quran OKU Pekak-Bisu. Baginda juga berkenan menyantuni dan mengagihkan sumbangan kepada pelajar-pelajar Kelas Al-Quran Braille dan Kelas Al-Quran OKU Pekak-Bisu.
Turut mengiringi Baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato' Seri Muhammad Mua'az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, SSMZ., Dato’ Hadi bin Hassan (Pengarah Yayasan Islam Terengganu), Encik Wan Muhd Masyhum bin Wan Harujan (Timbalan Pengarah UPEN) dan Encik Mohamad Ridwan bin Mohd Nor (Yang Dipertua Majlis Daerah Besut).

